Pages

Anak Soleh Ummi & Abi

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers

Friday, March 20, 2009

KAWAN

KAWAN
oleh : ismisyakila (www.ismisyakila.blogspot.com)

Di satu pagi yang hening...

Dipeluknya beg yang satu itu. Talinya sudah terputus. Ah, sudah dua kali beg itu berperangai begitu. Mujur kedua-dua kali itu dalam perjalanannya pulang ke rumah. Tidaklah dia terkial-kial. Harga sekilo epal dibayar. Nota LE100 bertukar tangan. Mujur 'Ammu punya fakkah. Nota LE20 dipulangkan pada 'Ammu. 'Ammu seolah faham. Menyeluk kembali koceknya, mengganti nota yang penuh dengan selotape itu dengan 2 nota LE10 yang baru.

Dia melangkah pulang bersama sahabat seperjuangan. Pulang dari medan perjuangannya yang kedua. Kakinya melangkah dengan penuh hati-hati. Bimbang-bimbang kasutnya berbunyi. Ah, kasut yang satu itu, dibeli untuk memudahkannya melangkah dengan selesa. Tetapi lain pula jadinya. Hatinya berniat untuk bertukar pada yang baru namun dompetnya kini kontang. Sandal kesayanganya pula sudah putus. Maka mahu atau tidak terpaksalah dia menyarung kasut yang satu itu. Biarlah dulu..ada anak-anak arab yang berkaki ayam. Siapalah dia untuk mengeluh. Jadikanlah aku hamba yang bersyukur wahai Tuhanku.

"Aku menghantar mesej pada kawanku semalam.." dia membuka bicara pada sahabat. Memandang wajah sahabat yang langkahnya sentiasa seiring dengannya.

"Engkau masih berharap?" sahabat bertanya.

"Sudah pasti. Aku tidak ingin memutuskan silaturrahim yang ada. Bukankah nabi kita tidak suka? Aku masih sayangkannya." dia menjawab tenang. Dia tidak pasti adakah dirinya cuba dibela? Sahabat cuma mengangguk.

Ya..Dia masih sayangkan kawannya itu. Biarpun kawannya itu tidak sama dengan sahabat-sahabat seperjuangannya yang dia kira lebih memahami dirinya, kehendaknya, cita-citanya dan matlamatnya. Jauh sekali kawan itu jika mahu dibandingkan dengan sahabat-sahabat yang sama-sama berjuang di jalan yang dipilihnya. Tetapi dia masih sayangkan kawannya. Malah senatiasa mengasihi..

Sejak dari kecil dia punya ramai kawan. Biarpun dia kurang bercakap namun masih ada yang datang menghulurkan tangan persahabatan. Dia menyambut baik tanpa pernah menolak. Dia berusaha menjadi kawan yang baik. Menyambut bicara dan gelak tawa kawan-kawan dan sentiasa menjaga hati kawan-kawan. Namun masa merubah segala, dia kini tercampak jauh dari kawan-kawannya. Tercampak di bumi para Anbia. Bumi kinanah yang tersimpan berjuta hikmah.

Salam..

Jendela Yahoo Messenger bergetar dek nota BUZZ! berwarna merah. Itu kawannya.

Kawan : Terima kasih di atas artikelmu itu. Penulisannya bagus sekali. Engkaukah pengarangnya? Cuma.. aku kurang bersetuju. Tidak semua orang sama.

Dia faham apa yang dibicarakan oleh kawannya itu. Semalam dia menyebarkan link blognya pada kawan-kawan di Malaysia. Dia menulis tentang cinta moden si dara dan teruna. Penulisannya agak panjang tetapi dia berusaha untuk menjadikannya padat menarik kerana sasarannya bukanlah mereka-mereka yang berusaha mencari demi memperbaiki diri tetapi lebih kepada mereka-mereka yang hanyut dibuai cinta palsu syaitan durjana.

Dia hiba melihat perlakuan kawan-kawan sama gender dengannya. Mudahnya tubuh mereka dikelek lelaki yang entah siapa-siapa. Bukanlah ayah mereka. Bukan pula abang kandung mereka. Bukan juga adik kandung mereka. Bukan mahram merekalah senang cerita. Lelaki yang entah siapa-siapa.

Beraninya dia menilai begitu. Entah-entah memang saudara lelaki mereka?

Tidak! Sungguh dia tidak pasti wanita-wanita yang lain tetapi dia sangat pasti akan kawannya. Dia kenal kawan-kawannya. Dia tahu ibu bapa dan adik beradik kawan-kawannya. Dia tahu banyak tentang kehidupan kawan-kawannya. Kerana mereka dulu bagai isi dengan kuku. Makan sepinggan. Tidur sebantal. Rahsia dikongsi. Suka mahupun duka. Masa-masa awal remaja diisi penuh dengan kegirangan dan keseronokan. Seronoknya berkawan.

Cuma bezanya sekarang semuanya tidak lagi begitu. Usai pengajian menengah berakhir, mereka membawa haluan masing-masing berbekalkan keputusan SPM. Kini dia dan kawan-kawanya terpisah dek jarak berbatu-batu. Tetapi mereka tetap kawan-kawan dia. Kerana itu dia cuba menegur. Masakan dia ingin lihat kawan-kawan yang dikasihi rosak dan terjerumus ke lembah maksiat? Dia tidak sanggup. Benar tidak sanggup.

Dia : Mengapa engkau kata begitu kawanku?

Ada senyum terukir dibibirnya ketika menaip. Hatinya sedikit berbunga. Seronok kerana penulisannya direspon. Ini bermakna penulisannya bukan dibaca sia-sia tanpa interpretasi bijak si organ bernama otak. Jalan dakwahnya kini lebih mudah. Dia hanya perlu pandai bermain kata agar kawannya itu menjadi pemikir yang bagus.

Kawan : Engkau tahu kan? Aku punya teman lelaki. Aku merasakan bahawa aku perlukan dia di sisiku. Aku perlukan teman berbicara.

Dia : Mengapa mesti dia? Aku? Aku kan ada? Bukankah aku teman baikmu? Bezanya aku wanita. Tetapi itukan lebih baik? Engkau lebih bebas bercerita apa sahaja.

Kawan : Ah, Engkau terlalu jauh. Engkau terlalu sibuk dengan pelajaranmu.

Dia : Bagaimana dengan dia? Dia tidak sibuk dengan pelajarannya?

Kawan : Kadang sibuk juga. Tetapi dia sentiasa punya masa untukku. Saat aku perlukan seseorang, dia sentiasa akan ada.

Dia : Kenapa mesti dia? Bukankah teman rapat kita juga satu kolej denganmu? Adakah dia terlalu sibuk sehingga tiada masa denganmu? Bukankah dia masih rapat denganmu seperti dulu?

Kawan : Ya..tapi dia lain..

Dia : Maksud engkau? Lain bagaimana?

Kawan : Dia kini jarang memahamiku. Ah, dia pun sama saja. Sibuk dengan kenalan-kenalan lelakinya. Jadi dapatkah kau bayangkan betapa sibuknya dia berbanding aku?

Astagfirullah hal azim..Dia mengucap panjang. Hatinya ditusuk hiba. Mengapakah mereka semua begini.

BUZZ!

Dia : Maafkan aku kawanku. Jika kerana pemergianku jauh dari kamu berdua membuatkan kamu jadi begini.

Kawan : Jadi 'begini'? 'Begini' bagaimana?

Dia : Engkau muhasabahlah diri. Engkau dikurnia akal yang bijak untuk berfikir. Sulit untuk aku katakan di sini. Aku tidak mahu hatimu terguris. Artikel semalam, mungkin kau memahami. Kawan, jika engkau punya masalah, datanglah mengadu kepadaku. Aku akan peruntukkan masa untukmu. Jika aku tiada, mengadulah pada Allah. Dia Maha Mendengar. Malah Dia sentiasa ada masa untukmu. Dia akan beri apa sahaja menurut keperluanmu. Asalkan kau mengadu.

Kawan : Engkau sudah berubah. Sudah banyak berubah.

Dia : Aku? Berubah? Apakah yang berubah?

Kawan : Entahlah. Mungkin engkau sudah alim berbanding yang aku kenal dulu. Aku selalu rasakan seperti kami tidak layak berkawan denganmu lagi. Mungkin sahaja kau membenci kami.

Dia : Astagfirullah al azim..Masya Allah..Mengapa kau berkata begitu? Aku tidak pernah berubah. Aku cuma kembali pada fitrah. Adakah ia terlalu besar bagimu?

Kawan : Entahlah. Mungkin juga begitu. Cuma aku tidak biasa. Aku rindu pada dirimu yang dulu. Yang mendengar setiap ceritaku. Yang menyokong bicaraku. Tetapi sekarang seolah-olah kau menjauhiku. Memusuhiku.

Oh Tuhan..adakah aku yang bersalah? Kuatkanlah hatiku ini di jalan-Mu. Biarlah pahit dan payah manapun, Tetapkanlah hatiku ini..

Dia : Maafkan aku kawan. Maafkan aku. Aku cuma berpihak pada kebenaran biarpun ia payah. Mungkin engau tidak sedar bahawa engkau sebenarnya membuat sedikit kesilapan. Aku terlalu menyayangimu lalu cuba mendekatimu dan kembali mengingatkanmu. Salahkah aku?

Kawan : Engkau bolehlah bercakap begitu kerana engkau belum merasa manisnya cinta.

Dia : Pernahkah engkau merasa cinta termanis lebih manis daripada kemanisan cinta yang engkau rasakan itu?

Kawan : Katakan padaku.

Dia : Cinta pada Tuhanmu dan Rasulmu.

Kawan : Mestilah aku cinta. Apa yang kau tahu? Siapalah engkau untuk menilai cintaku?

Dia : Jika benar engkau cinta pada Tuhanmu dan Rasulmu, mustahil engkau rasakan cintamu bersama temanmu itu manis.

Kawan : Mengapa tidak?

Dia : Aku pelik!

Bagaimana engkau boleh merasakan membelakangi perintah Tuhanmu itu manis?

Bagaimana engkau boleh merasakan bersama dengan lelaki yang bukan halal bagimu itu manis?

Bagaimana engkau boleh merasakan berpegangan tangan dan duduk rapat dengan lelaki yang entah siapa-siapa itu manis?

Mustahil engkau tidak tahu semua itu dosa?

Bagaimana engkau boleh merasakan dosa itu manis?

BUZZ!

Dia : Aku butuh penjelasanmu kawanku.

Kawan has singed out at 3.30am.

Ah, kawannya cuba lari dari dia. Tidak mengapalah. Dia sedikit lega. Segalanya sudah terluah. Dia tidak berhenti meminta dan memohon pada Rabbnya agar kawannya diberi hidayah. Semoga kawannya matang dalam berfikir. Tidak seperti kanak-kanak yang bahagia mendapat sebatang lollipop tetapi kemudiannya lalai dek warna warni lollipop itu dan tenggelam dek kemanisan lollipop itu sehingga terlupa berterima kasih pada si ayah yang membelikan lollipop tersebut.

Sehingga sekarang dia tidak punya jawapan. Kawannya seolah melarikan diri daripadanya. Dia buntu mencari jalan. Telefonnya tidak berangkat. Emelnya tidak berbalas. Mesejnya juga sepi. Dia tidak mahu silaturrahim itu putus. Dia masih sayangkan kawannya. Terlalu sayang.

"Jangan futur sahabatku. Ingatkah engkau pada kecintaan kita Baginda Rasulullah yang dakwahnya itu lebih payah? Kita jauh lebih senang. Cemuhan ini hanyalah secebis dari cemuhan yang dilemparkan pada Baginda. Kita tidak dilempar najis. Kita tidak hunus pedang. Kita tidak dicaci maki dengan teruk. Ketika Baginda bersedih, Allah memujuk Baginda dalam surah-Nya al-Insyirah :

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Bukankah kami telah melapangkan dadamu (Muhammad)?. dan kami pun telah menurunkan beban darimu. yang memberatkan punggungmu. dan kami tinggalkan sebutan (nama)mu bagimu. Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. sesungguhnya bersama kesuitan ada kemudahan. maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain). dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap.

Sadaqallahul azim..

La tahzan ya sahabati. Kita bersama dalam perjuangan ini. Masa hadapan lebih banyak lagi rintangan yang kita tidak pernah tahu. Laluilah masa yang susah ini. Sekurang-kurangnya ia mengajarmu erti sabar."

Dia cepat-cepat beristigfar. Bibirnya terkumat kamit menyebut nama Agung. Kepalanya didongak ke langit pagi yang kian mencerah, mencari ketenangan dan kekuatan yang kian surut. Langkahnya masih beralun. Kali ini tidak lagi longlai. Wahai Allah..kurniakanlah hambamu ini ketenangan, kekuatan dan kesabaran.

Amin..

1 comments:

Anonymous said...

shdey kot akie...uhuuu
i guess that was happened at u...is it??
alhamdulillah..ive found back fitrah yg dcari2 slma ini here..tp tula
susahkan when it comes to kawan..
kalau la sume org bole faham ape yg kte faham..
never mind...moga ukhuwah yg terbina berkekalan