Assalamualaikum wbt.
Petang itu saya sendirian di rumah. Mak saya pergi mengaji dan adik ke sekolah. Tiba2 kedengaran bunyi motor diikuti ucapan salam. Saya mengintai dari celahan tingkap.
"Wa'alaikumsalam..eh Wak, masuklah." jemput saya sambil membuka pintu grill.
"Mak kamu ada? Ni ha burung puyuh yang semalam mak kamu mintak.." katanya dalam loghat jawa.
"Mama takde. Mama pergi ngaji. Ooo..burung puyuh tu. Berapa Wak? Nanti saya ambil duitnya ye. Masuklah Wak." saya jemput kawan mama masuk.
Saya tak ingat namanya. Panggilan Wak adalah panggilan hormat dalam loghat jawa kepada orang tua yang lebih tua dari ibubapa kita. Saya panggil Wak je. Saya masuk kembali ke dalam rumah, mencari duit untuk membayar harga burung puyuh yang mak saya tempah dengannya semasa kami pergi ke Majlis Bacaan Yasiin hari sebelum itu kerana saya teringin sangat nak makan burung puyuh.
"Ni Wak duitnya.." saya menghulurkan not RM 50 padanya.
"Alaa..Wak takde duit kecik la. Ini harganya RM 27 je.."
"Alamak kite pun takde duit kecik Wak. Camne ye?" saya tertawa.
"Takpelah bayar bila-bila je pun takpe..Wak pun selalu jumpa Mak kamu."
"Takpe ke Wak. Alamak sorry la Wak.." saya tersengih-sengih.
"Lama ke cuti? Balik sana bila? Ada berapa tahun lagi?" bertalu-talu Wak bertanya.
"Cuti dua bulan. InsyaAllah lepas raya balik sana. Balik ni masuk tahun 4 dah. Lagi 3 tahun setengah habislah insyaAllah.."
"Uish lama lagi ye.. Berapa tahun semuanya?"
"6 tahun setengah. Sekejap je lah Wak. Pejam celik dah 3 tahun dah. Orang dengar pun tak percaya."
"Ye lah. Belajar lah elok2. Jaga diri kat tempat orang tu. Nak buat apa ingat Allah, ingat mak ayah. Ye lah mana lah tahu kan, sekarang ni macam2 bencana."
"InsyaAllah Wak.."
"Wak ni bukan apa, orang tengok kamu ni jadi contoh. Dulu pun anak Wak dapat asrama, Wak tak tahu nak bagi pergi ke tak. Wak tanya lah pendapat mak kamu, mak kamu kata kat Wak, anak nak belajar hantar je lah kat mana2. Kita ni kalau mati, takde harta nak bagi kat anak2. Ilmu sajalah hartanya. Kalau ada ilmu tu insyaAllah lah elok hidupnya. Jadi Wak pun dengarlah nasihat mak kamu. Wak hantar jugak masuk asrama. Alhamdulillah elok pulak dia duduk asrama. Takde lah bercampur dengan budak2 yang bukan2 kat sini. Balik pun duduk rumah je, tolong Wak. Takde lah merayau merempit sana sini.."
Saya mengangguk-anggukkan kepala. Saya pernah dengar kisahnya itu dari mak saya. Wak adalah kawan mama semasa di sekolah dahulu. Entah kenapa ketika Wak bercerita, saya jadi sebak. Saya tahu, ibubapa saya tiada harta untuk diagihkan pada kami adik-beradik. Mereka bahkan bergolok gadai untuk beri kami adik-beradik keselesaan agar dapat belajar dengan baik tanpa sebarang masalah. Masalah kewangan itu adalah biasa namun jika untuk kepentingan pelajaran, mereka tetap berusaha untuk dapatkan semampunya.
Dua bulan di rumah, saya memang sentiasa bersama mak saya. Makan, minum, tidur, solat, masak, tonton tv, sidai kain dan macam2 aktiviti lagi kami lakukan bersama. Saya katakan pada mak saya, bagi saya masa belajar inilah saya boleh peruntukkan masa sepenuhnya dengan ibubapa dan adik beradik saya kerana saya takut apabila sudah bekerja nanti saya tiada masa yang cukup untuk mereka. Apa lagi jika sudah bersuami dan berkeluarga dan jika duduk berjauhan dari keluarga. Semua itu insyaAllah pasti terjadi.
"Anak2 lah yang akan jadi harta mama dan ayah kat akhirat nanti. Sebab tu mama kalau boleh, nak didik anak2 agar boleh jadi saham buat kami kat akhirat nanti. Biarlah bergolok gadai harta dan nyawa, asalkan kamu2 ni jadi anak2 soleh solehah. Itu saja harapan mama. Terpulanglah kat dunia ni kamu nak bagi mama apa2 ke, tak nak bagi ke..mama tak mengharap dan tak minta. Yang akhirat tu yang penting."
Saya tertunduk diam. Sebak. Duduk bersama dengan mama, kami bukan bersembang kosong. Semuanya berisi. Setiap patah yang mak saya ucapkan, membuatkan saya banyak berfikir dan bermuhasabah. Banyak betulnya. Terasa diri saya tersangatlah naif.
Jika saya bercerita tentang angan2 saya untuk memiliki kereta idaman, rumah idaman dan sebagainya, mak saya akan menyampuk :
"Entahlah.. Mama tak pernah terfikir pun nak semua tu. Mama sebenarnya takut. Nanti kat akhirat, setiap benda yang kita miliki Allah akan tanya. Contohnya, kamu beli baju banyak2 tu kamu buat apa? Dari mana sumbernya? Bawa pergi ke mana? Pergi ngaji ke..pergi tempat maksiat ke..Tu sebab mama tak beli banyak2 baju. Lagi banyak baju, lagi banyak kena tanya. Mama kalau boleh nak guna semua baju2 tu buat pergi ngaji."
Saya tertunduk lagi. Terkedu. Seperti terkena tepat pada batang hidung saya. Apabila muhasabah kembali, sepertinya saya cintakan dunia melebihi cinta saya pada akhirat. Tiada langsung sifat zuhud dan qanaah. Astagfirullah al azim.. Ah, takutnya!
Maafkan saya kerana banyak bercerita tentang mak saya. Dia adalah orang yang paling saya kagumi. Mama bukanlah seorang yang berpelajaran tinggi. Baik akademik mahupun agama. Mama tidak berkerja. Hanyalah seorang suri rumah sepenuh masa. Tapi saya yakin, jika mama diberi peluang, pasti mama boleh pergi jauh.
Kalau anda dengar mak saya baca Al-Quran, lebih banyak yang salah dari yang betul. Tapi mama tak pernah jemu belajar dan memperbaiki bacaan. Setiap hari dia keluar pergi mengaji. Belajar Quran dan belajar agama. Jika tidak faham cara bacaan, mama akan panggil saya untuk betulkan bacaan. Mama berpesan pada saya, jika terdengar bacaan mama salah, betulkan. Kalau tidak, saya yang berdosa. Dan setiap kali saya terdengar bacaan mama salah, saya akan masuk ke bilik dan betulkan bacaan mama. Dan setiap kali keluar dari bilik selepas betulkan bacaan, saya kan menangis. Entah kenapa, saya tak mengerti. Semoga Allah memberi ganjaran terbaik di atas usaha2 mama.
Di rumah, saya selalu pasang bacaan Al-Quran oleh Sheikh Sa'id Al-Ghamidi di handphone saya. Terutama ketika buat kerja2 atau melepak di dapur bersama mak saya. Setiap kali mendengar, mama akan kata mama teringin sangat nak baca Quran selancar itu. Semerdu itu. Mama kata mama nak belajar betulkan bacaan dan tajwid dahulu. Lepas tu mama nak belajar taranum. Hati saya jadi sebak. Saya diam tak terkata. Terasa sungguh kesal saya sebagai anaknya tidak mampu untuk mengajar mak saya.
Mama sangat bersungguh dalam mempelajari Al-Quran. Tak cukup dengan pengajian dengan gurunya, mama juga tak pernah terlepas dari mengikuti rancangan Mari Bertaranum di TV9. Dia akan ikut bacaan taranum itu. Begitu juga rancangan di Astro Oasis, saya terlupa rancangan apa tetapi berkaitan dengan belajar tajwid. Dan dia akan mengajak saya menonton bersama. Kadang2 ada juga benda yang saya tak tahu saya jadi tahu. Sangat bagus.
Pada bulan puasa yang lalu, setiap hari mama akan pergi bertadarus dengan kawan2 yang mengaji bersama dengannya. Mama kata, ada yang bacaan mereka lebih teruk dari mama. Mereka baca merangkak-rangkak. Sehinggakan meraka yang bacaannya lancar, menolak untuk sekumpulan dengan orang2 ini. Tapi mama join mereka dan cakap pada mereka, "Takpe..kita jangan putus asa ye..Rasulullah ada cakap, Allah takkan jemu dengan kita selagi kita tak jemu.. Kita cuba sikit2 takpe, jangan berhenti terus. Takpelah kita habis lambat pun.." Dan mereka tidak pernah berhenti. Mereka teruskan biarpun merangkak-rangkak.
* Dari Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda : "Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit"
Saya rindukan mak saya. Itulah sebenarnya perasaan saya sekarang. Mak saya pernah berkata pada saya beberapa hari sebelum saya pulang ke Mesir. "Tengoklah nanti bila kamu dah balik sana, mama mesti terasa-rasa kamu masih kat rumah." Dan di sini, masih terngiang-ngiang suara mak saya di telinga saya. Masih terhidu-hidu bau mak saya.
Hari tu semasa dapat berita tentang ibu kepada sahabat saya meninggal dunia, saya termenung selama beberapa hari. Mak saya bertanya kenapa saya diam je sejak dua tiga hari. Saya katakan bahawa saya tak dapat bayangkan keadaan saya kalau mama tak ada nanti. Mama gelak dan menurutnya, abang saya juga selalu meluahkan perkara yang sama pada mak saya. Mak saya kata : "Buat apa nak sedih? Daripada kamu2 menangis kalau mama meninggal nanti, baik sedekahkan doa dan bacaan Quran. Jangan lupa, mama taknak batu nisan yang batu2 atau simen2 tu, mama nak kamu pacakkan kayu je. Lepastu tanamkan pokok apa2 atas kubur mama." Aish, bila mak saya dah cakap macam tu, makin menangislah saya!
Susahkan bila dah homesick? Bila nak makan, teringatkan ketika makan di rumah. Bila nak solat, teringatkan ketika solat di rumah. Bila nak masak, teringatkan ketika masak di rumah. Kadang2 bila saya baca Quran supaya hati tenang pun, masih lagi teringatkan ketika berlawan-lawan dengan mak saya, siapa dahulu yang khatam Quran pada bulan puasa yang lalu.
Hahaha..saya betul2 homesick. Dan saya tahu saya perlu belajar untuk bermujahadah. Saya mahu jadi sekuat mak saya. Bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu sepertinya. Malulah kan kalau saya yang muda ni malas dan manja sedangkan mak saya yang dah sakit2 tu pun mampu ke sana ke mari mencari ilmu. Mak saya selalu ulang kata2 ni : "Rasulullah kan ada pesan..ingat 5 perkara sebelum 5 perkara. Ustaz mama kata, jangan setakat tahu je..faham dan amal!"
Selamat bermujahadah syabab2 dan ghulam2 sekalian! Ayuh!