Pages

Anak Soleh Ummi & Abi

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers

Monday, November 22, 2010

Kalam Timb Ketua Unit UPP sesi 09/10 :



TIADA JALAN SINGKAT UNTUK SESUATU YANG BERNAMA PENGALAMAN

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim

Memulakan kalam dengan nama agungNya, moga Allah membimbing setiap patah aksara yang bakal saya ketuk di papan kekunci ini insyaAllah. Saya masih memikirkan kewajaran untuk bersuara sementelah posisi saya selaku exco kekal, dan mungkin agak menampakkan bias kepada calon yang bertanding. Tapi memikirkan amanah yang bakal saya tanggung untuk satu sesi lagi, insyaAllah, moga Allah memberi petunjuk untuk setiap hujah yang bakal saya utarakan.

Melihat dari kaca mata pengalaman, walau masih mentah (baru 2 sesi), saya boleh mengurut dada lega mengucap hamdalah melihatkan senario yang melanda Mansurah pada ketika ini. Senario kesedaran berpesatuan dan memerlukan kepimpinan. Idea yang cuba dibawa mengenai suara mahasiswa suara keramat dalam edisi Mansouriyyin terbitan ke-4 . Alhamdulillah, mahasiswa Mansurah nampak semakin matang, cuma masih memerlukan masa untuk melangkah lebih jauh ke hadapan.

Ketika saya menjejak kaki ke Mansurah pada tahun 2007/2008 dahulu, dengan bernaungkan Agen GMN, saya terfikir akan teduhan apakah yang bakal menaungi saya di sini, sementelah memang sudah menjadi kebiasaan kepada kita disogokkan dengan mentaliti junior perlu hormat senior sejak dari sekolah menengah. Kemudian saya mula mengenali PCM itu sendiri, namun bayangnya ibarat main sembunyi. Ini kerana, ecxo-exco pada ketika itu saya kira cukup humble, buat kerja namun enggan dikenali, menyebabkan kami adik-adik agak sukar berinteraksi. Namun saya mengagak mungkin mereka tidak cukup pengalaman, dan agak segan untuk menonjolkan diri maka lebih selesa dilihat bekerja di belakang tabir.

Kemudian saya diberi peluang memegang jawatan untuk membawa pembaikan. Unit Penerbitan dan Penerangan pada mulanya saya nampak minor, tetapi sebenarnya inilah yang menjadi lidah rasmi kepada PCM. Setiap makluman perlu diberitahu, setiap kenyataan perlu diperjelas, setiap tindak-tanduk memerlukan pemikiran yang bukan sedikit, kerana impaknya cukup besar pada persatuan. Saya kira tak banyak yang saya bawa, kerana itu saya sekali lagi diberi amanah yang sama untuk sesi 2009/2010. Namun suatu perkara yang jelas saya nampak, Pengerusi PCM lah individu bertanggungjawab mencorak cara exco memimpin dan cara ahli dipimpin

Zaman Izzat Kamal dan Ikram Ishak, tuduhan yang sama PCM hadapi. Muka kelate, maka terus PCM dicop membawa politik kenegerian. Kemudian datang pula isu PCM syadid atau rigid, kerana dilihat Unit Pembangunan Insan(UPI) banyak menjuarai program-program PCM yang dilihat islamik, selain keaktifan Unit Hisbah (sekarang JAKSI) menegur secara ‘tidak’ berhemah. Kemudian melanda pula isu berbilang jemaah, diluahkan adik ‘Nur Kasih’ di Forum PCMansurah yang pening dengan identiti sebenar PCM. Isu jurang atau barrier sesama pelajar Konvensional dan Manchester usah dikiralah berapa kali meniti di mulut para ahli. Semua masalah ini, saya ingin bertanya kepada sahabat semua. Siapakah yang mengeluarkan kenyataan rasmi kepada ahli mahupun berjumpa empat mata dengan pihak-pihak berkenaan jika bukan Pengerusi?

Tohmahan, sindiran serta kritikan kami di barisan pimpinan terima dengan fikiran terbuka, walau hati kadang-kadang agak tercalar. Cuma saya agak ralat kerana sewajarnya ahli lebih bersifat adil menilai, telus memberi pendapat untuk perubahan persatuan. Namun saban tahun keadaannya sama, orang hanya akan sibuk menilai pimpinan semasa sesi sudah hampir tamat. Kenapa sepanjang exco memegang jawatan, tiada yang datang menghulur idea? Kenapa di saat kami memerlukan tangan-tangan membantu, cukup sukar untuk mencari ajk yang mahu?

Ubahlah mentaliti, usahlah kalut bercakap mengenai merubah komuniti jika sebelum ini kita hanya melihat dari luar, bercakap tanpa masuk sendiri dalam komuniti melaksana. Sokongan itu senang, cukup senang tapi pertolongan itu kadang-kadang boleh dibilang dengan jari. Kerana itu tak perlu bercakap mengenai muka sama sahaja berkerja, kerana saya sendiri tidak tahu mana hilangnya muka baru. Terima kasih tak terhingga saya ucapkan kepada semua ahli yang sentiasa setia menyokong PCM walaubagaimana sekalipun badai yang tiba! Kerana saya kira mereka inilah jua yang bakal bekerja memastikan PCM terus berdenyut selepas ini. Jika hilang para ahli yang bekerja sebagai tulang belakang ini, maka ada kemungkinan untuk PCM lumpuh dan jatuh!

Sekarang semua orang bercakap mengenai perubahan. Tapi saya lebih suka berbicara mengenai pengislahan. Bagaimana kita ingin memantapkan apa yang sudah ada. Kualiti yang kurang itu bagaimana kita ingin tambahkan. Kelemahan yang jelas itu bagaimana kita ingin perbaiki. Apa yang tiada itu bagaimana kita ingin adakan. Idea yang baru memang bagus, malah saya sangat sokong andai itu boleh mengkualitikan mutu kerja PCM. Namun perlu diingat, kadang-kadang idea itu boleh saja bersifat retorik, tidak berpijak di bumi nyata.



Di saat tiada goncangan isu, alhamdulillah PCM nampak stabil. Namun bila tergugatnya PCM, kami memerlukan pengemudi yang mampu melabuh sauh, menaik layar dan menukar arah bila tahu masanya, berpandukan kompas pengalaman dan kemahiran. Bukan nakhoda baru tidak mampu, tetapi untuk menjadi kelasi yang berjaya, kita perlu bermula dari bawah. Tiada jalan singkat untuk sesuatu yang bernama pengalaman, semuanya perlu bermula step by step. Betul, di sinilah fungsi mereka yang sudah berkemahiran, fungsi sebenar exco kekal. Tapi penerapannya tidak sama jika anda berada di kerusi Pengerusi! Exco kekal dan penasihat hanya mampu membimbing jalan, tetapi Pengerusilah yang berkuasa menunjuk jalan. Salah percaturan, maka risikonya ditanggung hampir 1200 orang di belakang!

Faktor akademik adalah sentimen yang sering dimainkan kerana semua maklum kesibukan pelajar tahun tiga. Mungkin ini dilihat kelemahan, tapi bagi saya seorang yang mampu memanipulasi keadaan boleh saja menukar kurang menjadi peluang. Saya mencadangkan bakal pengerusi untuk mempunyai setiausaha peribadi sendiri (Personal Assistant) yang fungsinya membantu menguruskan aktiviti seharian, selain sentiasa mengingatkan peri pentingnya akademik supaya tidak terabai dan diketepikan hanya kerana sibuknya tugas seorang pengerusi.

Saya tak nafikan calon Pengerusi yang bertanding keduanya mantap dari pelbagai segi. Tapi kita perlu lihat juga kesesuaian posisi masing-masing. Seorangnya saya kira lebih spesifik bidang pencakupannya, manakala seorang lagi bersifat universal, menyeluruh. Kita tidak ingin PCM nanti hilang 6 sayap yang lain dek kerana penumpuan yang lebih kepada 1 unit semata. Faktor pengalaman saya kira banyak mengajar pengerusi untuk memahami jatuh bangunnya persatuan, dan kecenderungan untuk pengerusi menghadapi tekanan sangat tinggi jika tidak tenang dalam membuat keputusan. Seorang pemimpin itu memanglah tidak mungkin sempurna, tetapi pemimpin yang mampu bersama rakyat menyelami segenap masalah itulah yang dicari.

Seorang pemimpin berjiwa rakyat, mampu mengkualitikan persatuan, menjaga kebajikan ahli dan mencorak kebebasan. Buatlah pilihan yang tepat, jangan anda undi kerana rebel dan tak puas hati, tapi sebaliknya gunakan peluang undi yang diberi dengan cermat dan adil. InsyaAllah, dengan izin Allah, saya tidak teragak-agak memberi kepercayaan kepada Azizi Jusoh untuk mengemudi PCM sesi 2010/2011. Semoga Allah memberkati pilihan undi yang dibuat serta sentiasa menunjuk jalan akan setiap keputusan yang PCM lakukan. Apapun yang terjadi, berpadulah kita semua dalam naungan Islam yang satu.

Nik NurFariha Mohamed Zalami
Penolong Ketua Unit Penerbitan & Penerangan 09/10
Tahun 4 Konvensional

3 comments:

izzati.abdullah said...

pabila kalam timb.ketua UPP keluar!wow.speechless.lps ni kena wak blog sndiri jgk tu.FB pun blh.moga Allah memudahkan urusan pimpinan akan datang

Adli Jihad said...

Siapa yang sudi menawarkan diri anda untuk menjadi PA(personal assistant) kepada Azizi?

sila, jangan ragu-ragu, jangan malu-malu

- ismisyakila - said...

kak zati : jangan tak tahu tu dia Kak Ha kita~

Adli Jihad : Akak pun boleh nak jadi PA Azizi.