Pages

Anak Soleh Ummi & Abi

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers

Tuesday, September 15, 2009

Ha, silakanlah MEROKOK!

Assalamualaikum wbt.

Anda pernah tak tonton iklan tentang kesan dan bahaya merokok di tv?

Beberapa hari lalu saya lihat iklan di tv tentang kesan dan bahaya merokok. Ya, beberapa hari lalu kerana hari ini tv saya tiada satu channel pun yang keluar. Semua kerana gara-gara ayah saya yang tidak membayar bil Astro pada bulan ini.

Mak saya kata, "Jangan tanya ayah kenapa tak bayar bil Astro, tapi tanya diri sendiri kenapa."

Baik mama. Saya tahu jawapannya. Pertama, adik saya perlu lebih tumpuan pada buku. Kedua, saya perlu lebih tumpuan pada kerja-kerja rumah. Ketiga dan yang lebih penting, saya perlu lebih tumpuan pada Ramadan yang semakin hampir melabuhkan tirainya.

Saya suka tonton tv. Saya cepat leka. Lepas satu rancangan, saya akan menonton rancangan yang lain. Bertukar-tukar channel dan cerita. TV menjadikan saya seorang penangguh yang hebat. Saya bertangguh mengemas rumah, saya bertangguh basuh pakaian, saya bertangguh memasak dan yang paling teruk sekali, saya bertangguh untuk bersolat. Astagfirullahal azim. Teruk betul saya ni!

Mungkin kerana saya meletakkan tv dihati menyebabkan saya tak boleh lupakan tv. Oh TV!

"Alaa..kat Mesir mana ada akak tengok tv. Hari-hari buku,buku,buku dan buku. Balik rumah setahun sekali, boleh la nak tengok tv. Ye? Ye?"

Itu alasan saya semasa ayah saya tidak membayar bil bulan lepas ketika saya baru sahaja pulang ke rumah. Keesokan harinya, bil Astro telah dibayar dan saya boleh tonton tv.

"Kamu ni sayang sangat TV nya tu. Sepatutnya bulan Ramadan ni kita jadikan madrasah untuk kita mengajar (tarbiah) diri kita untuk meninggalkan sifat2 keduniaan yang kita cintai. Lebih banyak kamu tengok tv, lebih banyak maksiat yang kamu tengok. Elok-elok puasa dapat pahala penuh, kamu dapat separuh je"

Begitu sekali mak saya mengugut saya. Dia tahu di mana weak point saya. Aiseh. Selamat tinggal TV.

Sebelum ini saya pernah beberapa kali menyuarakan hasrat saya pada ahli beit saya bahawa saya mahu membeli sebuah tv dan meletakkannya di bilik saya. Hehe. Namun hasrat saya dihalang. Oh sedihnya. Kerana menurut mereka, mereka kenal saya bagaimana. Huhu. Benarkanlah daku memiliki tv.

Oh itu cerita tv. Saya mahu bercerita tentang iklan rokok sebenarnya.

Iklan itu sangat2 berkesan buat saya dan mak saya. Tapi tak tahulah jika ia berkesan pada perokok2 di luar sana atau tidak kerana saya tahu, mereka lebih sayangkan rokok berbanding nyawa sendiri dan orang lain.

Sebagaimana Ramadan ini menjadi madrasah untuk saya mendidik diri saya yang ketagihan tv ini, begitu juga dengan perokok2.

Saya tahu bukan mudah untuk berhenti merokok. Anda akan mengalami withdrawal syndrome yang teruk jika berhenti merokok secara tiba2. Jika anda berhasrat untuk berhenti merokok, anda boleh mulakan SEKARANG biarpun secara perlahan. Ramadan boleh membantu anda untuk mengatasi masalah ketagihan rokok.

Jika di bulan biasa anda menghisap 15 batang rokok contohnya. Pada bulan Ramadan, sudah tentu anda hisap separuh dari bilangan itu kerana pada waktu siang, anda tidak merokok. Jadi anda sepatutnya boleh terus mengurangkan bilangan rokok pada bulan2 seterusnya. Janganlah hisap 15 batang rokok balik!

Anda tentu tahu bahan2 yang ada di dalam rokok itu bersifat carcinogenic atau boleh menyebabkan kanser. Kanser peparu, kanser mulut, kanser rongga, kanser salur makanan dan bermacam-macam kanser lagi. Menurut fakta, orang yang merokok mempunyai kemungkinan 20 kali ganda untuk menghidap kanser berbanding orang yang tidak merokok. Anda mahu dijangkiti kanser? Ha, silakanlah merokok!

Rokok juga boleh menyebabkan gangrene (kaki busuk). Gangrene selalunya berlaku di kaki sehingga ke paras lutut. Dan jika anda sudah di jangkiti gengrene, tiada cara lain untuk mengubatinya melainkan kaki anda dipotong. Anda mahu kaki anda dipotong? Ha, silakanlah merokok!

Dan bagi orang2 lelaki, jika anda nak tahu, nikotin yang berlebihan boleh menyebabkan anda mati pucuk! Anda mahu? Ha, silakanlah merokok!

Janganlah merokok. Berhentilah merokok. Kajian menyatakan bahawa sesiapa yang berhenti merokok sebelum umur mencapai 30 tahun, anda berpeluang untuk menikmati jangka hayat seperti orang biasa yang tak pernah merokok.

Ingatlah, nikmat kesihatan ini adalah kurniaan Allah. Dan cara untuk mensyukuri nikmat ini adalah dengan menjaga kesihatan kita sebaiknya. Janganlah menzalimi diri sendiri dan orang lain. Berdosa!

Ingatlah nikmat SIHAT sebelum SAKIT.

Ha, silakanlah merokok!

Sunday, September 6, 2009

Manual Hidup

Assalamualaikum wbt.


"Maha suci Allah yang telah menurunkan Furqan (Al-Qur'an) kepada hamba-Nya (Muhammad) agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam (jin dan manusia)" (Al-Furqan : 1)



Daripada Anas bin Malik r.a, Nabi s.a.w bersabda : "Sesungguhnya Allah mempunyai
ahli daripada kalangan manusia. Para sahabat bertanya : "Wahai Rasulullah!
Siapakah mereka itu?". Baginda bersabda : "Merekalah ahli Al-Quran iaitu ahli
Allah dan golongan pilihan-Nya" (Riwayat Ibnu Majah)



Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a, Nabi s.a.w bersabda : "Bacalah Al-Quran,
sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada
golongannya." (Riwayat Muslim)



Daripada Uthman bin Affan r.a, Nabi s.a.w bersabda : "Orang yang terbaik
daripada kalangan kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan
mengajarnya" (Riwayat al-Bukhari)



Daripada Abdullah bin Umar r.a, Nabi s.a.w bersabda : "Golongan orang yang
sentisa hampir dengan al-Quran adalah seperti orang yang menambat unta. Jika ia
menambantnya, unta itu dapat dikawal. Jika ia melepaskannya, unta itu juga akan
terlepas pergi" (Riwayat al-Bukhari)





Ya Allah..
Kurniakanlah rahmat kepadaku dengan Al-Quran
Dan jadikanlah Al-Quran sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat bagiku

Ya Allah..
Ingatkanlah aku terhadap apa yang telah aku lupakan dari Al-Quran
Ajarilah aku apa-apa yang belum aku ketahui dari Al-Quran

Anugerahilah aku kemampuan
Untuk sentiasa membaca Al-Quran sepanjang malam dan sepanjang siang
Jadikanlah Al-Quran hujah bagiku
Wahai Tuhan sekalian alam..


Salam Nuzul Quran
17 Ramadhan 1430H

Friday, September 4, 2009

"ENTAHLAH.."

Assalamualaikum wbt.

"Entahlah.."

Perkataan itu mungkin saja menafsirkan tafsiran yang berbeza. Sama ada berputus asa atau mungkin berserah sepenuhnya pada Allah (tawakkal). Apa yang pasti, masih ada sisa-sisa pengharapan pada Yang Maha Esa agar diberikan yang baik dan terbaik.

Saya kadangkala berasa kekok. Kekok dengan orang2 di sekeliling saya. Rasa kekok itu membuatkan lidah saya kelu dan mata saya malu. Rasa risau pula sedikit demi sedikit menghantui diri apabila takut dikatakan sombong. Sombong kerana tidak berkata-kata apatahlagi bertentangan mata.

Saya tak tahu apa yang saya karutkan di sini. Betul, bukan mudah bernafas dalam jiwa hamba. Saya merasakan kegagalan dalam setiap saat yang saya tempuhi. Akhlak saya, ibadah saya, ilmu saya, percakapan saya. Semuanya saya rasakan kurang sehinggakan saya takut untuk berhadapan dengan semua orang. Untuk menulis di sini pun, saya berfikir berkali-kali. Saya cuba untuk baiki. Sehinggakan saya rasa lelah teramat dan rasa mahu menangis.

Dahulu dalam setiap matlamat saya, saya selalu melebihkan dunia. Bagi saya, Islam yang saya anuti ini hanyalah agama yang menyuruh penganutnya menyembah Allah semata-mata. Bagi saya, Ibadah itu hanyalah rukun Islam yang lima. Bagi saya, Al-Quran itu adalah untuk dikhatam sebelum umur mencecah belasan tahun. 'Islam is the way of life' hanyalah satu ayat yang memberi makna kosong buat saya. Bersekolah disekolah agama? Ah, tidak langsung memberi kesan pada diri saya. Subjek-subjek agama yang diambil hanyalah untuk membanyakkan A dalam sijil peperiksaan saya.

Itu cerita lama. Cerita lama yang saya masih tak pasti sama ada saya perlu diluputkan dari ingatan selepas memulakan hidup baru ataukan perlu untuk saya simpan buat pedoman.

Cumanya sekarang, adakah orang2 di sekeliling saya berfikiran sama seperti saya dahulu? Jika jawapan mereka 'ya', ingin sekali saya mengajak mereka untuk merasakan apa yang saya rasakan sekarang. Ianya lebih baik, lebih cantik, lebih indah, lebih tenang dan macam2 kelebihan lagi.

Saya sedih sekali apabila terjadi kisah ini. Orang A mula berstoking kerana kesedaran ingin berubah. Orang B pula bertanya "Aik kau ni tiba2 berstoking, nak pergi berdakwah ke?". Dan orang A yang imannya masih berbolak balik merasa ragu2, malu dan buka kembali stokingnya lalu berkata "Taklah, kan hujan ni.Kaki aku sejuk. Kau tak sejuk ke?". Rasanya mahu saja saya menghempuk orang B, tapi saya tahu itu bukan caranya. Entah mengapa, saya yang tertekan.

Apabila bersembang-sembang dengan emak mengenai hal-hal berkaitan agama, banyak sekali persoalan yang timbul. Saya terus menjadi tertekan. Betapa sedikitnya ilmu saya kerana soalan yang saya rasakan kecil pun saya tidak boleh menjawab. Emak kata tidak mengapa, dia akan bertanya gurunya.

Emak pun mula berbicara tentang kepentingan ilmu. Lebih-lebih lagi sekarang dialah yang aktif ke sana ke mari untuk mencari ilmu. Kesibukannya disiang hari sama seperti orang bekerja biarpun dia hanyalah seorang surirumah. Jika terlepas satu majlis ilmu, terpaksalah telinga ini menadah rasa kesalnya yang dibawa hingga ke malam. Saya menjadi cemburu, segan, dan bermacam-macam lagi. Mujahadah saya sangat tipis jika dibandingkan dengan dia. Ah, malunya!

Saya cuba memupuk diri untuk suka membaca. Saya pergi MPH dan memborong bermacam-macam buku. Ratusan habis dan saya berharap ia berbaloi. Saya tidak mahu mulakan pupukan saya dengan pengisian yang berat2 kerana saya tahu saya akan cepat bosan dan meninggalkan terus apa yang dibaca. Makanya saya mulakan dengan sejarah2 Ummul Mukminin, buku2 motivasi berunsurkan agama dan buku2 tentang kisah2 tauladan supaya saya tidak bosan membaca. Saya punya banyak masa kosong sebenarnya untuk membaca tetapi saya selalu leka dengan tv. Selalu!

Saya sedikit kecewa melihat diri saya. Saya mahu tapi saya tahu saya tidak bersungguh. Saya menjadi stress dengan diri sendiri. Alhamdulillah saya masih punya seorang emak untuk memujuk, "Tidak mengapa. Mulakan dengan perlahan tetapi istiqamah. Biar setiap apa yang kita lakukan meresap ke dalam jiwa. Bukannya terburu-buru tetapi pengakhirannya tetap kosong. Dahulu mama pun begitu, buntu mencari madrasah ilmu di tempat baru (kami berpindah ke perkampungan baru). Puas berdoa hingga satu ketika, alhamdulillah ada pula yang mengajak ke kelas agama. Dan kemudian bukan sahaja satu malah lebih dari itu. Sehingga tiada masa untuk berehat. Apa yang penting niat dan kemahuan kita. InsyaAllah, Allah akan bukakan satu pintu dan akan terbentang luas jalan di hadapan kita. Jangan cepat mengalah.."

Saya malu. Saya sungguh malu. Sampai bila saya mahu begini. Saya tak patut berterusan begini. Doakan agar saya diberi kekuatan dan mujahadah yang tinggi.

Tuesday, September 1, 2009

Indahnya Syurga!

Assalamualaikum wbt.


Masuk hari ini, dah sepuluh hari Ramadhan berlalu. Terasa sayang untuk melepaskan hari2 yang berikutnya. Terasa rugi juga apabila melihat ada masa2 yang lompong kosong tidak diisi amalan yang sepatutnya pada sepuluh hari yang lalu. Semoga Allah menerima amalan hamba2-Nya di Ramadhan yang tenang ini.


Semalam saya terlepas siri ulangan Qamar Bani Hasyim yang ditayangkan Jumaat minggu lepas gara-gara terpaksa mengalah dengan adik yang menangis mahu menonton cerita Iron Man. Puasa memujuk saya agar tidak marah mahupun melenting. Geramlah juga (sangat geram sebenarnya) kerana cerita Iron Man itu akan diulang tayang banyak kali! Namun mengalah tidak bererti kalah kan. Habis je cerita Iron Man, saya cepat2 merampas remote control dan menukar channel.


Saya hanya menonton beberapa minit terakhir. Terasa amat rugi apabila episod semalam menceritakan tentang keluarga Yassir, Bilal Bin Rabah dan Zubayr Ibn Awwam yang di seksa kerana menganut ajaran Muhammad. Pasti episod hari ini lebih menarik.

Apa yang sempat saya tonton adalah scene di mana Abu Umarah menyuruh Abu Jahal menghentikan seksaannya terhadap keluarga Yassir yang merupakan hambanya. Kata Abu Umarah : "Kau menyeksa mereka bukan kerana agama yang mereka anuti tetapi kerana mereka menganut agama Muhammad!".


Ya, Abu Jahal berdendam dengan Bani Hasyim yang memegang tampuk pemerintahan kota Makkah. Abu Jahal cemburu dengan Muhammad yang dipuji2 oleh kaum Quraisy kerana akhlaknya yang tinggi serta kejujurannya yang menjadikan kaum Quraisy mempercayai dan menghormati Muhammad Al-Amin.


Dan keluarga Yassir, mereka mempercayai Muhammad dengan sepenuh hati! Ketika di pukul dan di gertak agar keluar dari agama Muhammad, Yassir dan Sumayyah tetap mengucap syahadah "Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah" dan mereka dipukul lagi! Dan akhirnya mereka syahid bersama kalimah agung itu. Menjadikan mereka yang pertama syahid kerana mempertahankan agama Allah.


Bilal Bin Rabah. Bilal pula tetap menyebut kalimah "Ahad! Ahad! Ahad!" meskipun di seksa dengan pelbagai seksaan oleh tuannya. Bilal dibanting, dipalu, disebat, ditindih batu di bawah terik mentari. Namun "Allahu Ahad!", hanya itulah yang terbit dari mulutnya.


Masya Allah! Sungguh mengagumkan orang yang beriman!


Mereka tidak kisah diseksa kerana selepas sahaja mereka mengucap syahadah, mereka telah betul2 menyerahkan seluruh jiwa mereka kepada Allah. Mereka telah menjual diri mereka pada Allah. Mereka tidak peduli jika diseksa kerana mempertahankan iman mereka kerana iman itulah yang telah meringankan penderitaan mereka, iman itulah yang telah mengenyangkan kelaparan mereka dan iman itu jugalah yang melepaskan dahaga mereka.


Masya Allah! Sungguh mengagumkan orang yang beriman!


Apakah yang membuatkan mereka kuat begitu sekali?


Saya teringat lagi pada beberapa siri yang lepas menceritakan tentang Bilal Bin Rabah yang berjumpa Zaid Bin Harithah, seorang hamba yang diangkat sebagai anak oleh Rasulullah. Zaid adalah antara orang yang mula2 beriman daripada golongan hamba.


Ketika Bilal berjumpa dengan Zaid, Zaid sedang beribadah dan Bilal bertanya tentang ibadahnya. Dan pada masa itulah Zaid mengambil kesempatan berdakwah pada Bilal agar meninggalkan Latta dan Al-Uzza dan menganuti ajaran yang dibawa oleh Muhammad Al-Amin.


Ajaran yang tidak membezakan antara golongan pembesar, orang biasa dan hamba. Ajaran yang hanya melihat keimanan dan ketaqwaan sebagai kayu ukur seseorang di sisi Allah.


Bilal bertanya pada Zaid : "Apakah yang akan aku dapat sebagai balasan wahai Zaid?"


Dan Zaid menjawab : "Syurga"


Bilal bertanya lagi : "Maka apakah yang perlu aku buat wahai Zaid"


Zaid menjawab " Katakanlah : Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah"


Bilal mengucap syahadah tanpa berlengah maka islamlah Bilal Bin Rabah. Dan Zaid mengucapkan "Semoga Allah menguatkan imanmu wahai saudaraku"


Apa yang mengagumkan?


Lihat, Bilal bertanya apakah yang beliau akan dapat sebagai balasan jika mengikut ajaran Muhammad dan Zaid mengatakan Syurga. Ya, syurga! Mereka yakin bahawa syurga adalah sebaik-baik balasan maka mereka dengan rela hati menjualkan diri pada Allah.


Saya teringat antara kisah yang berlaku pada perang Badar. Ketika mana Rasulullah s.a.w bersabda kepada sahabat2 baginda sebelum perang berlangsung :


"Wahai pejuang Badar, sesungguhnya Allah mengawasi kamu lalu Allah berkata : "Lakukanlah yang kamu sukai sebab Aku telah mengampuni kamu". Demi Allah wahai pejuang Badar, tidak ada penghalang antara kamu dan syurga, kecuali mereka membunuh kamu maka kamu terus masuk syurga"


Mendengar sabda Rasulullah itu, Umair Bin al-Hammam al-Anshari berkata : "Wahai Rasulullah tidak ada penghalang di antara kita dan syurga kecuali mereka membunuh kita?"
Rasulullah menjawab : "Benar, demi jiwaku yang berada di tangan-Nya"


Maka Umair terus membuang kurma yang dipegangnya lalu menyarung baju perangnya, kemudian mengambil pedangnya lalu berangkat perang. Dalam peperangan itu dia gugur sebagai syahid.


Masya Allah! Itulah para pencinta syurga. Mereka tidak pernah gentar. Tidak pernah!


Entahlah, saya tidak tahu apa yang merasuk jiwa saya setelah saya menonton Qamar Bani Hashim. Ianya seperti, apa yang yang saya cari-cari selama ini telah saya temui. Ianya betul2 menyentap hati saya. Setiap kali menonton, terasa seperti ada sesuatu yang sejuk meresap ke dalam sanubari. Usah ditanya berapa banyak airmata yang mengalir. Ah, entah apa yang saya karutkan ni.


Mungkin kerana saya lebih gemar dan cenderung menonton berbanding membaca, membuatkan saya rasa seronok sekali apabila berjumpa cerita ini. Inilah drama paling best pernah saya tonton sepanjang hampir 21 tahun saya hidup. Saya sedang mencari-cari set CD atau DVD cerita ini. Semoga saya menjumpainya sebelum pulang ke Mesir.


*Qamar Bani Hashim : Astro Oasis
Isnin - Jumaat (6pm-7pm)
siaran ulangan (2pm-3pm keesokan harinya)