Pages

Anak Soleh Ummi & Abi

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers

Friday, November 27, 2009

Eid Farrahah!

Assalamualaikum wbt.


Perit sekali menyambut Eid di perantauan. Jauh dari keluarga. Walaupun benar sahabat2 dan kawan2 itu sudah dianggap seperti keluarga, tapi tetap tidak sama. Hati tetap sebak dan syahdu. Rindu pada wajah mulus ibubapa. Senyuman mereka, kucupan mereka, usapan mereka, kata-kata mereka. Walaupun kadangkala berbaur marah, tetap dikenang hingga mampu menitis airmata.

Kadang2 kita mencuba sedaya upaya melupakan suasana Eid bersama keluarga. Kita sibukkan diri dengan pelbagai perkara dan cara. Tetapi, 'signal' rindu dan ingatan yang dihantar oleh mereka tetap memberi kesan dalam hati. Biarpun tidak bertemu wajah, bersua muka, bertutur kata, itu bukan syarat untuk kita terus mengingati mereka. Ah, sedihnya saat ini.

Tapi bukan itu yang mahu dikenang-kenang sangat saat ini. Eid Adha merupakan hari yang penuh dengan kenangan. Kenangan yang bukan hanya kenangan semata-mata, tapi penuh dengan pengajaran.


Saat membaca surah As-Saffat, menghayati kembali dengan sebenar-benarnya kisah Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail a.s, 10 Zulhijjah tidak akan kosong.

Ya Tuhanku, anugerahkanlah aku (seorang anak) yang termasuk orang yang soleh (100). Maka Kami beri khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang sangat sabar (Ismail) (101). Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, "Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!" Dia Ismail menjawab, "Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; insyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar." (102)



Maka ketika keduanya telah berserah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya atas pelipisnya (untuk melaksanakan perintah Allah) (103). Lalu Kami panggil dia, "Wahai Ibrahim!" (104). sungguh engkau telah membenarkan mimpi itu, Sungguh demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik (105). Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata (106). Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar (107) Dan kami abadikan untuk Ibrahim (pujian) di kalangan orang2 yang datang kemudian (108) "Salam sejahtera bagi Ibrahim" (109). Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik (110). Sungguh, dia termasuk hamba2 Kami yang beriman (111).

Itulah antara kisah dari pelbagai kisah yang terakam di dalam Al-Quran. Kisah yang Allah ceritakan, agar kita, orang2 yang datang kemudian dapat ambil iktibar,pengajaran dan pedoman. Kisah perbualan yang cukup cukup hebat antara seorang ayah dan anak. Lebih hebat kerana mereka ahamba yang taat.

Lihat saja kata2 Nabi Ismail a.s saat perintah Allah diturunkan pada ayahandanya, "Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; insyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar." Hebatkan? Hebatkan kesabaran Nabi Ismail a.s? Saat itu umurnya masih muda. Jika kita ditanya soalan yang sama, apakah agaknya jawapan kita?

Inilah antara kisah hebat orang-orang yang taat. Taat secara total, sepenuhnya, hundred percent atau mungkin lebih dari itu.

Orang yang taat tidak pernah bertanya banyak. Tidak pernah mempersoal kenapa perlu untuk dia lakukan ini atau itu. Tidak pernah meminta sebab mengapa dia perlu tinggalkan ini mahupun itu. Kerana orang yang taat, mengabdikan sepenuh penuhnya, keseluruhannya, baik jiwa, raga, jasad, harta, masa dan segala yang ada padanya kepada Allah. Orang yang taat tidak meminta balasan. Tidak perlukan 'reward' untuk membayar harga ketaatannya.

Inilah contoh terbaik buat orang yang benar-benar hendak beriman. Apabila perintah Allah datang kepadanya, tiada langsung dia mencari ruang alasan. Bahkan terus menerus mencari jalan agar perintah itu diturut biarpun dia perlu bayar dengan nyawa.

Ramai orang sekarang mendengar takbir untuk mencari dan menghayati 'mode' raya. Bukanlah menghayati ucapan yang mengagung-agungkan Allah itu. Sedih kan?

Ada juga yang hanya memandang kosong pada kisah Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Pengetahuan mereka sekadar cukup untuk membuktikan bahawa mereka 'tahu' apa yang berlaku disebalik pensyariatan korban semasa Eid Adha.

Saya sendiri sehingga sekarang, cuba menghayati setiap inci kisah-kisah yang terakam di dalam Al-Quran, cuba mencari pengajaran, agar penghayatan itu bukan sekadar penghayatan ilmu tapi juga penghayatan amal.

Eid Farrahah! Kullu 3am wa antum bi khair.

Zulhijjah 10, 1430 H.

0 comments: